PETALING JAYA: Shikin Dahalan atau lebih dikenali sebagai Shikin Dangdut hampir maut dalam satu kemalangan jalan raya yang membabitkan lapan buah kenderaan di Kilometer 44, Lebuh Raya Karak, Sabtu lalu.
Dalam kejadian kira-kira pukul 12.15 tengah hari, Shikin yang memandu kereta Honda City miliknya sedang dalam perjalanan menuju ke Gambang, Kuantan untuk membuat persembahan dalam program anjuran Telekom Malaysia pada sebelah malam.
"Saya ada sound check pada pukul 2 petang. Saya dan kawan yang juga penolong saya dalam perjalanan ke sana dari Kuala Lumpur. Tiba-tiba sebuah kereta Proton Persona melanggar kereta saya dari sisi sebelah saya menyebabkan kereta saya berpusing-pusing empat atau lima kali.
"Kemudian, kereta saya pula dilanggar beberapa oleh kenderaan dari belakang yang tidak dapat mengelak. Saya rasa macam dah mati ketika itu," katanya kepada mStar Online di sini.
Menurut Shikin, dia memandu agak perlahan ketika itu berikutan keadaan yang basah sementara kereta Persona itu berada di lorong laju.
Katanya, kemalangan yang melibatkan dua buah kereta Kancil, sebuah Proton Iswara, Proton Wira, Proton Persona dan sebuah bas itu berlaku di satu selekoh.
"Bila kereta berhenti, asap putih kelihatan berkepul-kepul. Kawan saya suruh saya keluar cepat. Bila saya berjaya merangkak keluar, saya terkejut melihat kereta dah remuk.
"Jika bukan kerana beg udara yang terbuka, kami dah tercampak keluar. Sambil berjalan terhuyung-hayang, saya terkejut apabila melihat sebuah kereta Kancil terbabas menuju ke arah saya lalu saya terus melompat ke dalam longkang," katanya.
Sehingga hari ini, Shikin memberitahu, dia masih tidak percaya dia boleh terselamat dalam kemalangan ngeri itu dan bersyukur kepada Tuhan.
Katanya, hanya leher, tangan dan kakinya luka terkena serpihan cermin yang pecah sementara terdapat benjol besar di kepalanya.
Mengimbau keadaan kemalangan pada ketika itu, Shikin berkata, dia melihat seorang bayi tiga atau empat bulan mengalami pendarahan serius, selain ada penumpang yang tersepit manakala seorang wanita mengalami serangan jantung.
"Saya rasa nak muntah melihat keadaan ngeri yang itu dan saya difahamkan tiada yang mati dalam kemalangan tersebut," katanya.
Sementara itu, Shikin berkata, pemandu kereta Persona itu datang meminta maaf dan memberitahunya dia hilang kawalan ketika memandu.
"Wanita itu beritahu saya dia dah pusing stereng tetapi kereta masih bergerak lurus lalu merempuh kereta saya. Dia turut mengalami kecederaan di kepalanya," ujar penyanyi dangdut ini.
Shikin memberitahu, dia telah membuat laporan polis di Balai Polis Bentong pada hari yang sama.
Katanya, dia juga turut mendapatkan rawatan di sebuah klinik swasta sebelum dirujuk ke hospital.
"Bila balik ikut kereta suami kawan saya, saya rasa fobia naik kereta dan asyik memintanya memandu perlahan-lahan," katanya yang kehilangan telefon, rantai dan kasut dalam kemalangan itu.
No comments:
Post a Comment