Suatu masa dahulu, hidup sepasang suami isteri yang sudah tua. Pasangan suami isteri ini sangat taat kepada Allah. Si suami bernama Imran. Isteri Imran adalah wanita mandul, oleh itu mereka tidak memperoleh seorang cahaya mata pun.
Walaupun mereka berdua sangat inginkan anak, tetapi mereka tidak pernah kesal atau kecewa kerana tidak dikurniakan anak. Mereka sedar Allah-lah yang berkuasa untuk memberi mereka anak. Mereka yakin Allah Maha Pengasih dan Penyayang. Oleh itu pasti ada kebaikan atas setiap ketentuan Allah terhadap diri mereka berdua.
Walaupun sudah tua, keinginan untuk memiliki anak masih kuat dalam diri isteri Imran. Dia yakin Allah Maha Berkuasa terhadap segala perkara. Oleh itu dia tidak pernah berhenti berdoa. Dia sentiasa berdoa agar dikurniakan seorang anak yang soleh.
Oleh kerana terlalu inginkan anak, isteri Imran telah bernazar. Jika Allah kurniakan anak kepadanya, anak itu akan diserahkan ke Baitul Maqdis untuk berkhidmat di tempat ibadah tersebut.
“Ya Allah, jika engkau kurniakan anak kepadaku, akan aku sumbangkan dia untuk Baitul Maqdis,” demikianlah nazar isteri Imran kepada Allah.
Doa Dikabulkan
Imran dan isterinya terus beribadah dan melakukan tugas-tugas seharian seperti biasa. Semakin hari, keadaan tubuh mereka semakin lemah kerana tua. Uban semakin banyak tumbuh di kepala Imran dan isterinya. Walaupun demikian, mereka tidak jemu-jemu berdoa kepada Allah agar dikurniakan anak.
Suatu hari, isteri Imran merasakan keadaan yang lain daripada biasa. Dia merasa mual dan mulai muntah-muntah. Keadaan ini selalunya dialami oleh wanita-wanita yang hamil. Isteri Imran tertanya-tanya, adakah dia hamil? Sedangkan dia wanita yang sudah tua dan tubuhnya mulai lemah.
“Suamiku, sejak beberapa hari ini saya sering rasa mual dan muntah-muntah seperti wanita hamil. Mustahil saya hamil, kerana saya sudah tua,” kata isteri Imran kepada suaminya.
Imran tersenyum gembira mendengar kata-kata isterinya. “Bukankah Allah Maha Berkuasa? Tidak ada perkara luar biasa di dunia ini kalau Allah kehendaki,” jawab Imran.
“Jika benar awak hamil, syukur alhamdulillah. Akhirnya Allah perkenankan doa kita untuk mendapat anak,” tambah Imran lagi sambil tidak jemu-jemu mengucap syukur dan memuji-muji Allah.
Kandungan isteri Imran semakin besar. Dia dapat merasakan kandungannya itu mulai bergerak-gerak dan menendang-nendang perutnya. Alangkah bahagia perasaan Imran dan isterinya ketika itu. Mereka menunggu kelahiran bayi itu dengan sabar.
Suatu hari, Imran jatuh sakit. Imran dapat merasakan ajalnya sudah dekat. Imran berpesan kepada isterinya supaya menjaga anak mereka yang akan lahir itu dengan sebaik-baiknya.
“Isteriku, aku sudah terlalu tua dan sakit-sakit pula. Aku mungkin tidak sempat melihat wajah anak kita, apa lagi untuk membesarkannya. Oleh itu, engkau peliharalah anak kita itu dengan sebaik-baiknya supaya dia menjadi anak yang soleh. Dan jangan lupa untuk tunaikan nazar yang engkau buat, iaitu menyerahkan anak itu ke Baitul Maqdis untuk berkhidmat di sana,” pesan Imran kepada isterinya.
Tidak lama kemudian, Imran pun meninggal dunia. Tinggallah isterinya sendirian menanti kelahiran anak di dalam kandungannya, sambil tidak jemu-jemu beribadah kepada Allah.
Isteri Imran memperbaharui nazarnya kepada Allah yang telah dibuatnya dahulu, iaitu akan menyerahkan anak itu ke Baitul Maqdis. Isteri Imran juga sentiasa berdoa agar anak itu menjadi anak yang soleh.
Kelahiran Bayi Perempuan
Akhirnya masa yang ditunggu-tunggu pun tiba. Isteri Imran mulai terasa sakit hendak bersalin. Kegembiraan dan kebahagiaan jelas terbayang di wajahnya.
Isteri Imran melahirkan bayi yang sihat dan sempurna sifat-sifatnya. Tetapi ketika melihat bayi itu, alangkah terkejut dan kagetnya dia.
Isteri Imran melahirkan bayi yang sihat dan sempurna sifat-sifatnya. Tetapi ketika melihat bayi itu, alangkah terkejut dan kagetnya dia. Selama ini dia menyangka akan melahirkan seorang bayi lelaki. Tetapi bayi yang ada di pangkuannya kini adalah seorang bayi perempuan.
Isteri Imran mula memikirkan akan nazarnya hendak menyerahkan anaknya ke Baitul Maqdis. Hatinya berasa ragu-ragu. Patutkah seorang anak perempuan diserahkan ke Baitul Maqdis untuk berkhidmat di sana? Seorang perempuan tentulah tidak sama kekuatannya dengan seorang lelaki.
Isteri Imran pun mengadu dan berserah kepada Allah, kerana Allah lebih mengetahui tentang perkara itu. Dia berdoa agar bayi itu terpelihara daripada gangguan syaitan. Isteri Imran kemudian menamakan bayi itu Maryam.
Maryam diserahkan ke Baitul Maqdis
Isteri Imran membesarkan Maryam dengan penuh kasih sayang. Apabila dia semakin tua, dia menunaikan nazarnya untuk menyerahkan Maryam ke Baitul Maqdis.
Ramailah orang yang berebut-rebut hendak mengasuh Maryam. Mereka yakin bahawa Maryam yang lahir dari keturunan yang mulia itu akan menjadi orang yang terkenal suatu hari kelak.
Apabila Nabi Zakaria a.s. mendengar berita itu, dia pun pergi ke tempat orang ramai sedang berebut-rebut itu. Kata Nabi Zakaria: “Tak usahlah kamu semua berebut-rebut untuk mengasuh Maryam. Akulah yang lebih berhak untuk mengasuhnya kerana emak saudaranya adalah isteriku.”
Tetapi orang ramai yang berebut-rebut itu enggan mendengar kata-kata Nabi Zakaria a.s. Mereka pergi ke sebatang sungai untuk membuat undian. Mereka bersetuju untuk mencampakkan pena masing-masing ke dalam sungai. Sesiapa yang penanya timbul di permukaan air dan tidak hanyut, dialah yang berhak memelihara Maryam.
Orang ramai pun mencampakkan pena masing-masing ke dalam sungai, termasuk Nabi Zakaria a.s. Mereka memerhati dengan teliti pena siapakah yang tidak tenggelam. Alangkah kecewanya mereka apabila mendapati hanya pena Nabi Zakaria a.s. yang tidak tenggelam. Sekarang mereka tidak ada alasan lagi untuk membantah.
Nabi Zakaria a.s. pun membawa Maryam pulang ke rumahnya. Maryam dibesarkan dengan kasih sayang dan diberi pendidikan sewajarnya. Apabila Maryam menginjak remaja, Maryam pun ditempatkan di Baitul Maqdis, di dalam sebuah bilik yang dikawal ketat oleh Nabi Zakaria.
Di dalam biliknya, Maryam menghabiskan sebahagian besar masanya untuk beribadah. Waktu malam hanya sedikit digunakan untuk tidur. Maryam lebih banyak mengerjakan solat dan berzikir. Waktu siang pula digunakan untuk membersihkan kawasan sekitar Baitul Maqdis.
Hidangan dari Langit
Sekali-sekala Nabi Zakaria akan masuk ke tempat ibadah Maryam untuk melihat keadaannya. Tidak ada orang lain yang dapat masuk ke situ kecuali Nabi Zakaria, kerana hanya beliau seorang saja yang memegang kuncinya. Setiap kali beliau masuk ke situ, beliau melihat ada hidangan yang istimewa di dalamnya. Kadangkala beliau melihat buah-buahan yang tidak terdapat di daerah mereka. Sebahagiannya pula adalah buah-buahan yang di luar musim.
Dengan rasa takjub, Nabi Zakaria bertanya kepada Maryam: “Wahai Maryam, dari mana engkau memperoleh makanan ini?”
“Makanan ini dari sisi Allah,” jawab Maryam. Tahulah Nabi Zakaria bahawa Maryam adalah wanita mulia yang dicintai oleh Allah SWT.
Dikunjungi oleh Malaikat Jibril
Ketika bersendirian, Maryam sering dikunjungi oleh malaikat Jibril. Selain membawa hidangan yang istimewa untuk Maryam, malaikat Jibril menyampaikan berita bahawa Allah sangat sayang kepadanya dan melebihkannya atas segala wanita yang ada di dunia ketika itu.
Suatu hari malaikat Jibril datang kepada Maryam dengan menyamar seperti seorang pemuda yang gagah dan tampan. Maryam terkejut kerana menyangka lelaki itu seorang jahat yang berniat buruk terhadap dirinya. Mariam berlindung diri kepada Allah dengan berkata: “Sesungguhnya saya berlindung kepada Allah dari kejahatan engkau, sekiranya engkau seorang yang takut kepada Allah.”
Malaikat Jibril memberi isyarat supaya Mariam tidak takut. Kata malaikat Jibril: “Sesungguhnya aku diutus oleh Tuhan untuk memberitahumu, bahawa kamu akan melahirkan seorang anak yang namanya Al-Masih Isa bin Maryam, yang akan menjadi orang terkemuka di kemudian hari.”
Maryam terkejut mendengar berita itu. “Bagaimana saya akan mempunyai anak, sedangkan saya tidak pernah disentuh oleh seorang lelaki pun?” Soal Maryam.
“Allah-lah yang berkuasa menjadikannya,” jawab malaikat Jibril.
Maryam Hamil
Tidak lama sesudah peristiwa itu, Maryam dapat merasakan perubahan pada dirinya. Ada sesuatu yang bergerak-gerak di dalam perutnya. Yakinlah Maryam bahawa dia sedang mengandung seperti yang diberitahu oleh Jibril kepadanya.
Maryam berasa susah hati. Dia bimbang memikirkan apa yang akan terjadi apabila masyarakat sekeliling mengetahui tentang kehamilannya tanpa suami itu. Sudah pasti masyarakat akan memandang serong kepadanya dan menganggapnya perempuan jahat.
Apabila perutnya semakin besar, Maryam mengambil keputusan untuk keluar dari tempat peribadatannya dan membawa diri ke sebuah tempat terpencil yang jauh dari situ. Dia meninggalkan Baitul Maqdis dengan rasa sedih, tertekan dan susah hati.
Menghadapi Saat Cemas
Maryam tinggal seorang diri di tempat yang jauh dari orang ramai. Di situ dia beribadah sambil menunggu kelahiran anak di dalam kandungannya.
Akhirnya tibalah saat yang ditakutinya selama ini. Perutnya mulai sakit, menandakan waktu untuk bersalin sudah tiba. Hatinya sungguh cemas untuk menghadapi saat bersalin, memandangkan dia tidak ada pengalaman bersalin dan tiada sesiapa pula yang akan membantunya. Lebih merunsingkan, di tempat itu tidak ada makanan dan minuman serta kemudahan untuk bersalin.
Maryam keluar dari tempatnya beribadah selama ini, lalu berjalan menuju ke kawasan yang lebih terpencil. Ketika sakitnya semakin kuat, Maryam duduk bersandar pada sebatang pohon kurma yang kering. Ketika itu perasaannya sangat sedih, takut dan khuatir. Maryam mengadu kepada Allah dengan berkata: “Apalah malang nasibku. Alangkah baiknya kalau aku mati sebelum ini, tentu akan dilupakan orang.”
Akhirnya Maryam melahirkan seorang bayi lelaki. Setelah bayi lelaki itu lahir, berlakulah beberapa perkara pelik. Pohon kurma kering tempat Maryam bersandar tiba-tiba dipenuhi dengan buah-buah kurma yang sudah masak.
Malaikat Jibril kemudian menyuruh Maryam menggoyangkan pohon kurma itu dengan badannya. Maryam yang kesakitan dan kepenatan menepuk perlahan-lahan batang kurma itu, lalu berguguranlah buah kurma yang sudah masak di hadapannya.
Kemudian Jibril berpesan kepada Maryam supaya tidak bercakap dengan sesiapa pun selama beberapa hari.
Akhirnya berita tentang Maryam melahirkan anak tanpa bapa itu diketahui juga oleh orang ramai. Orang ramai menjadi gempar dan mereka datang beramai-ramai untuk melihat keadaan Maryam dan bayinya.
Orang ramai bertanya bermacam-macam soalan kepada Maryam. Mereka menghina, mengejek dan mencaci Maryam dengan menuduhnya sebagai wanita jahat.
“Anak siapa ini?”
“Siapa bapa anak ini?”
“Mengapa begini kelakuanmu wahai saudara Nabi Harun?”
Hati Maryam sungguh sedih dan pilu mendengar penghinaan dan cacian yang ditujukan kepadanya, tetapi tidak satu pun dijawabnya kerana mematuhi pesan Jibril. Akhirnya Maryam memberi isyarat kepada orang ramai agar bertanya kepada anaknya tentang siapakah ayahnya.
“Gilakah!!! Mana mungkin bayi sekecil ini boleh menjawab,” kata orang ramai.
Oleh kerana tidak sabar dengan sikap Maryam yang hanya berdiam diri, seorang lelaki mengajukan soalan kepada bayi di dalam dukungan Maryam.
“Siapa kamu?” Soalnya.
Dengan tidak disangka-sangka, bayi itu menjawab: “Aku adalah hamba Allah. Dia (Allah) memberikan kitab kepadaku dan menjadikan aku seorang nabi. Dan Dia menjadikan aku seorang yang diberkati di mana saja aku berada, dan Dia memerintahkan kepadaku supaya mendirikan solat dan menunaikan zakat selama aku hidup, dan berbakti kepada ibuku, dan Dia tidak menjadikan aku seorang yang sombong lagi celaka. Dan kesejahteraan semoga dilimpahkan kepadaku, pada hari aku dilahirkan, pada hari aku meninggal dunia dan pada hari aku dibangkitkan hidup kembali.”
Jawapan yang keluar dari mulut bayi itu sungguh menakjubkan sehingga menyebabkan orang ramai terdiam. Mereka berbisik-bisik dan berbincang sesama sendiri. Akhirnya ramailah yang yakin bahawa Maryam bukanlah wanita jahat seperti yang mereka tuduh. Mereka memohon maaf atas cacian dan penghinaan yang mereka lemparkan kepadanya sebelum ini.
Dilantik Menjadi Nabi
Bayi yang dilahirkan oleh Maryam itu ialah Nabi Isa a.s. Setelah dewasa, Nabi Isa a.s. pun diangkat menjadi nabi dan diutus kepada kaum Bani Israil. Baginda menyeru manusia untuk mengesakan Allah.
Nabi Isa dikurniakan mukjizat-mukjizat seperti boleh menghidupkan burung dari tanah liat, menyembuhkan orang buta, menyembuhkan pesakit sopak, menghidupkan orang mati, mengetahui apa yang orang lain makan dan simpan di rumah masing-masing, boleh bercakap ketika lahir dan boleh mendatangkan makanan dari langit.
No comments:
Post a Comment