Nuffnang
Monday, September 6, 2010
ASAL-USUL HARI RAYA
ASAL-USUL HARI RAYA
Diriwayatkan di dalam beberapa kitab hadith dan sejarah di waktu Rasulullah
SAW berhijrah dan menetap selama kira-kira dua tahun di Madinah, didapati
masyarakat Madinah samada yang telah beragama Islam atau sebaliknya
masing-masing mengadakan perayaan pada tiap-tiap tahun yang dikenali
sebagai hari "Nairuz' dan 'Mahrajan'. Kedua-dua hari perayan itu diwarisi
daripada tradisi bangsa Parsi.
Rasulullah SAW pun bertanyakan perkara ini kepada kaum muslimin "Perayaan
apakah ini? Mereka menjawab " Hari Raya kami yang kami warisi sejak zaman
jahiliah lagi, pada hari itu kami bersuka-ria."
Mendengar jawapan itu, Rasulullah SAW pun bersabda :"Sesungguhnya ALLAH SWT
telah menggantikan dua perayaan itu dengan yang lebih baik daripada
kedua-duanya iaitu dengan Hari Raya Idul-fitri dan Hari Raya Idul-adha."
Lalu ditetapkanlah dua musim perayaan itu iaitu pada tanggal 1 Syawal
selepas puasa Ramadhan dan pada 10 Zulhijjah pada musim haji.
HUKUM SOLAT SUNAT 'IDUL-FITRI
Sunat Muakkad (amat dituntut) kerana Rasulullah SAW tidak pernah
meninggalkannya sejak disyariatkan pada tahun 2H sehingga baginda wafat. Ia
dituntut oleh semua mukallaf lelaki dan wanita, bermukim dan musafir,
merdeka dan hamba. Dituntut dilakukan secara berjemaah tetapi sah dilakukan
bersendirian.
Waktu Solat Sunat 'Idul-fitri
Waktu bermula dari terbit matahari sehingga tergelincir matahari. Waktu
yang paling afdal ialah ketika matahari naik kadar tinggi segalah kerana
itulah waktu yang selalu didirikan oleh Rasulullah SAW.
Persiapan Hari Raya
1. Bangun awal pagi dan mandi sunat hari raya.
2. Memakai pakaian yang terbaik, cantik dan baharu.
3. Mengenakan harum-haruman dan bau-bauan.
4. Disunatkan makan terlebih dahulu sebelum pergi solat sunat hari raya
(bagi yang raya 'idul-fitri sahaja)
5. Sunat pergi awal-awal ke tempat melakukan solat sunat hari raya kecuali
imam/khatib yang bertugas pada hari itu.
6. Sunat pergi berjalan kaki (kalau tiada kesukaran). Pergi melalaui jalan
yang dekat dan pulang melalui jalan lain yang jauh sedikit.
7. Disunatkan seluruh umat Islam samada tua atau muda, lelaki dan perempuan
termasuk yang dalam haid untuk menghadiri perhimpunan solat sunat Hari
Raya. Ummu 'Athiyah R.A berkata :- "Kami disuruh membawa gadis-gadis kecil dan
wanita-wanita yang haid pada dua hari raya ('Idul-fitri dan 'Idul-Adha)
agar mereka menyaksikan kebajikan dan doa kaum muslimin, tetapi
wanita-wanita yang sedang haid itu terpisah dari tempat solat."
[Hadith Riwayat : Muttafaq'alaih]
8. Menunaikan solat sunat Hari Raya dan mendengar khutbah.
9. Sunat memperbanyakkan takbir dan tahmid. Takbir raya terbahagi kepada
dua iaitu takbir mutlaq dan takbir muqayyad.
10. Sunat beribadah pada malam hari raya antaranya solat sunat, bacaan
Al-Quran, berzikir, bertakbir dan seumpamanya. Sabda Rasulullah SAW :-
"Barang siapa menghidupkan dua malam Hari Raya ('Idul-fitri dan
'Idul-Adha), ALLAH SWT akan menghidupkan hatinya di hari matinya hati-hati
manusia."
11. Bermaaf-maafan.
12. Ziarah-menziarahi bagi tujuan mengeratkan hubungan kekerabatan
(silaturrahim). Sabda Rasulullah SAW :- "Hubungan silaturrahim adalah
jalinan dengan arasy. Dia (Allah SWT) berfirman : Sesiapa yang
menyambung-Ku, Allah SWT juga akan berhubung dengannya dan siapa yang
memutuskan-Ku, Allah SWT memutuskan hubungan dengannya."
[Hadits Riwayat : Muslim]
13. Bersikap sederhana dalam menyambut Hari Raya. Jangan melakukan
pembaziran dan keterlaluan dalam berbelanja.
14. Membataskan pergaulan dalam sambutan. Jangan berlaku pergaulan yang
terlalu bebas dan melanggar hukum yang ditetapkan syara'.
15. Memelihara seluruh ibadah dalam menyambut Hari Raya khususnya solat
samada solat qasar, jama' atau solat tamam (sempurna).
Ucapan Ketika Bertemu Pada Hari Raya
Berjabat tangan antara satu sama lain sambil mengucapkan :-
"Semoga sepanjang tahun anda berada di dalam keadaan baik"
atau
" Semoga anda kembali dalam kesucian dan kejayaan"
atau
"Semoga Allah SWT menerima amalan kami dan kamu" Jawablah "Terimalah Ya
Allah SWT Yang Maha Pemurah"
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment