KAJANG 4 Okt. - Pengacara sebuah rancangan hiburan di rangkaian televisyen swasta hari ini hadir di Pejabat Agama Islam Hulu Langat di sini untuk disoal siasat setelah disyaki berdua-duaan dengan seorang wanita di sebuah apartmen di Ampang, Selangor pada Rabu lalu.
Pengacara lelaki berusia 27 tahun itu hadir di pejabat tersebut pada pukul 10 pagi ini dengan ditemani seorang lelaki yang juga pasangan pengacaranya di rancangan hiburan berbentuk komedi tersebut.
Dia ditahan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) bersama wanita berusia 27 tahun yang juga isteri orang pada pukul 2 pagi, 29 September lepas di apartmen tersebut.
Jurucakap JAIS yang dihubungi mengesahkan bahawa pengacara itu dan pasangannya dipanggil untuk disoal siasat mengikut Seksyen 29(a)(b) Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995 sebelum dihadapkan ke Mahkamah Syariah.
Memetik laporan akhbar mingguan semalam, suami kepada wanita tersebut yang hanya dikenali sebagai Adam, 31, sudah lama mengesyaki isterinya mempunyai hubungan dengan lelaki lain tetapi tidak tahu dengan siapa.
Dia yang sudah tidak tinggal serumah sejak beberapa bulan lalu kerana masalah rumah tangga mengetahui isterinya mempunyai hubungan dengan pengacara tersebut setelah terserempak dengan mereka di dalam kereta wanita itu.
No comments:
Post a Comment